Sejarah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Pada tahun 1972, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengumumkan bahawa tahun tersebut sebagai Tahun Buku Antarabangsa. Sejajar dengan itu, pelbagai pameran buku dari syarikat tempatan mengambil inisiatif daripada promosi UNESCO ini. Di Malaysia, ia diadakan secara persendirian oleh syarikat buku di merata-rata tempat. Sehingga tahun 1975, penganjurannya diadakan dengan skala kecil mengikut syarikat masing-masing.[2]

Pada 1976, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) bercadang ia dianjurkan secara berpusat untuk memudahkan pemasaran. Pesta buku ini dinamakan sebagai "Pameran Buku Kebangsaan" dan dianjurkan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH).[3]

Pada tahun 1982, ia dianjurkan secara rasmi dengan nama "Pesta Buku Malaysia" dan diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. Pada tahun 1988, ia pernah dianjurkan di Changkat Pavillion, Kuala Lumpur.[3]

Pada tahun 1991, pameran buku ini dipindahkan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan diberi nama "Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur" setelah beberapa syarikat buku dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Brunei dan Jepun menyertai pameran buku ini.[4] Semenjak 1991, ia dianjurkan di PWTC kecuali pada tahun 2016 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).[3]

2010-an

Jumlah pengunjung ke PBAKL pernah melepasi 2 juta pengunjung pada edisi 2014, dengan jumlah keseluruhan 2.4 juta orang pada tahun tersebut.[5]

Pada edisi 2016, PBAKL dianjurkan di MAEPS, Serdang, Selangor. Pemilihan dan perubahan lokasi ini mendapat kritikan daripada pelbagai pihak disebabkan lokasi yang jauh dari kebiasaan, termasuklah capaian pada pengangkutan serta kemudahan lain.[6][7]

2020-an

PBAKL tidak dianjurkan pada 2020 secara fizikal berikutan pandemik COVID-19, menyebabkan edisi tahun itu dibuat melalui dalam talian melalui kerjasama dengan platform e-dagang, Shopee.[8] Edisi fizikal dianjurkan semula pada Jun 2022; tarikh ini merupakan tundaan dari Februari berikutan penggunaan Pusat Dagangan Dunia sebagai pusat pemvaksinan COVID-19.[9] PBAKL pada 2022 menyaksikan kira-kira 1.36 juta pengunjung dicatatkan, melepasi sasaran awal 700 ribu pengunjung.[10]

Edisi 2023 menyaksikan penganjuran ke-40 PBAKL, dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Edisi 2023 turut menampilkan kerjasama dengan syarikat media sosial, TikTok yang berperanan sebagai platform pemupukan budaya membaca utama dalam golongan muda, termasuk kerjasama antarabangsa, dengan China sebagai negara tamu.[11][12] PBAKL edisi 2023 mencatatkan kira-kira 1.5 juta pengunjung.[13]

Rujukan

WikiPedia: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur https://www.astroawani.com/berita-malaysia/klwbc-2... https://lobakmerah.com/kenapa-tak-buat-kat-kl-maep... https://www.malaysianow.com/my/news/2022/06/14/pba... https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/202... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06... https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/05/1561... https://www.bharian.com.my/kolumnis/2015/05/53598/... https://www.kosmo.com.my/2022/01/11/pbakl-2022-dia...